PUTRAJAYA – Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia mulai Rabu (2 Ogos) hingga Jumaat (4 Ogos).
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu, Lawatan Negara itu juga bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam (ALC) ke-24 yang akan dihadiri oleh Sultan Brunei dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim .
“Sebagai mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei Darussalam, ALC akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan isu-isu tertunggak serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Sultan Brunei akan diberi Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Ogos.
Seterusnya baginda akan bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, diikuti dengan Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasi.
Pada 2022, Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (US$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.
— BERNAMA