JELEBU – Peniaga di Kawasan Penjaja Pekan Simpang Pertang di sini merayu kerajaan menyediakan bekalan elektrik di medan selera itu demi keselesaan peniaga dan pengunjung.
P Nirmala Devi, 41, berkata, ketiadaan bekalan itu menyebabkan, hanya tiga peniaga mampu bertahan manakala lima lagi peniaga terpaksa ‘angkat kaki’ sejak beberapa bulan lalu.
“Sejak pusat penjaja ini dibuka 10 bulan lalu, memang tiada bekalan elektrik disediakan menyebabkan kami tak boleh berniaga waktu malam walaupun ramai juga orang di sini selepas waktu petang.
“Jadi saya berharap, siapa sahaja calon bertanding yang akan menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 12 Ogos ini, tolonglah selesaikan masalah kami pengundi di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Peniaga, S Sangeetha, 19, berkata, dia terpaksa berulang alik ke rumahnya untuk menggunakan pengisar makanan dan masak nasi apabila kehabisan jualan yang dibawa dari rumahnya.
“Bila habis sahaja nasi dan rempah ratus yang sudah dikisar, saya terpaksa balik ke rumah tolong ibu untuk masak nasi, kisar rempah ratus yang hendak digunakan.
“Kalau ada bekalan elektrik di sini, senang tak perlulah kami berulang alik malah mungkin ramai penjaja akan mula beroperasi semula,” katanya.
Seorang pengunjung, Maslina Ishak, 50, berkata, dia berharap kebersihan kawasan pasar dan pusat penjaja itu dapat dipertingkatkan memandangkan ia terletak di laluan utama ke Bahau.
“Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, kawasan pasar terutamanya agak sesak dan berisiko mendatangkan penyakit apabila kebersihan tidak dijaga dengan baik,” katanya.
Pada PRN 12 Ogos ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang ditandingi calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas, Amirudin Hassan. – MalaysiaGazette