BUKIT MERTAJAM – Semua calon DAP diminta tidak terlalu yakin dalam berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang 12 Ogos ini bagi mempertahankan Kerajaan Pakatan Harapan.
Ketua Menterinya Chow Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang menasihatkan kesemua 19 calon DAP berhati-hati dalam pertuturan dan bekerja keras secara konsisten.
“Kaki perlu sentiasa berada di atas bumi atau mudah kata bukan berdiri dalam khayalan.
“Kita sudah masuk hari keenam berkempen keenam ada lapan sembian hari lagi untuk hari mengundi dan calon mesti bersemangat tinggi khususnya muka baharu yang perlu melalui proses pembelajaran dalam politik,” katanya dalam sidang media selepas walkabout dan bersarapan di Pasar Taman Sri Rambai, Padang Lalang di sini pagi tadi.
Kon Yeow kini dalam jejalah ke setiap kawasan DUN seluruh negeri ini untuk memerhatikan prestasi jentera kerja parti dalam gabungan Perpaduan PH-BN berada dalam prestasi sebenar.
Ditanya sama ada DAP boleh menang sapu bersih kesemua 19 kerusi DUN yang dipertandingkan, beliau berkata, DAP mensasarkan 30 kerusi untuk dimenangi membabitkan parti gabungan perpaduan.
“Kalau boleh menang 30 hingga 32 kerusi kali ini ia boleh dianggap prestasi yang baik dan saya serahkan ia kepada pegundi tapi kita perlu kerja keras lagi,” katanya.
Sebab itu, tambahnya, kerjasama erat di antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada PRN ini sangat penting bagi mencapai kemenangan besar sekali gus dapat membentuk Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang stabil.
“Kini kami mendekati pengundi dan memastikan mereka memahami Manifesto Perpaduan yang dilancarkan pada 1 Ogos.
Tambah beliau, ahli-ahli UMNO kini sudah menerima hakikat ini dengan sokongan baharu ini membolehkan gabungan PH-BN mencapai kemenangan besar.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan penilaian kali kedua terhadap enam kerusi DUN yang ditandingi BN untuk mengesahkan peluang untuk menang.
“Mungkin dalam tiga empat hari terakhir sebelum hari mengundi kita akan buat penilaian, dan ia akan menjadi henjutan terakhir sebelum hari mengundi bagi menentukan peratusan potensi boleh menang di enam kerusi DUN ditandingi BN itu,” katanya. – MalaysiaGazette