Fauzi Faizal menunjukkan Sungai Tiram yang didakwa mengeluarkan bau kimia di kawasan berkenaan.

ULU TIRAM – Bukan setakat marah, malah penduduk Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini fobia dengan pencemaran bau yang disyaki bahan kimia sejak dua hari lalu.

Suri rumah, Kamsiah Basarudin, 37, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anak sulungnnya berusia 12 tahun.

Kira-kira jam 1 tengah hari,  dia terbau seolah-olah bahan terbakar.

“Dalam keadaan pening akibat bau pelik itu, akak suruh anak tutup pintu rumah dahulu. Tidak lama kemudian, grup WhatsApp sekolah minta ibu bapa ambil anak masing-masing.

“Akak bergegas ambil anak 7 tahun sebab risaukan dia, sampaikan beg sekolah dia pun tertinggal,” katanya ketika ditemui di Ulu Tiram hari ini.

Kamsiah BasarudinKamsiah berkata, sebaik tiba di sekolah, dia dimaklumkan ada guru dan murid muntah-muntah kerana terhidu bau kimia tersebut.

Katanya, jarak rumahnya dengan sungai yang tercemar itu begitu dekat menjadikan dia semakin bimbang dengan kesihatan anak-anaknya.

Semalam, seramai 28 warga Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram  mengalami simptom pening dan muntah petang semalam, dipercayai akibat pencemaran sisa kimia.

Mangsa-mangsa terdiri daripada 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin.

Sementara itu, seorang lagi penduduk  ditemui Nurul Ain Hamdan,34  mengakui  trauma dengan bau pencemaran itu.

Nurul Ain Hamdan

Katanya, dia tidak mahu insiden di Pasir Gudang berulang lagi memandangkan penduduk di kawasan berkenaan begitu padat.

“Akak bertahun duduk sini memang tak tahu ada kilang haram, lagipun ini kawasan kampung bukan kawasan perindustrian.

“Kilang itu patut peka dalam nak kaut untung,” tambahnya.

Nurul berkata, semasa kejadian dia memang ada terbau busuk.

“Kita ingatkan pencemaran dari Pasir Gudang bawa ke sini, jadi akak pun telefon kawan akak yang tinggal di sana tanya ada tak pencemaran berlaku di Pasir Gudang. Takut-takut pencemaran itu sampai ke sini,” ujarnya.

Namun menurut suri rumah ini, bau busuk tersebut sudah lenyap sejak pagi tadi.

Nawijianti Shahnawi

Sementara itu, seorang peniaga, Nawijianti Shahnawi, 39, berkata, ketika kejadian gerainya sudah ditutup.

Tetapi bau busuk itu menjadi tanda tanya.

“Tiba-tiba je ada bau busuk, kita pun tertanya-tanyalah, rupa-rupanya ada pencemaran,” ujar beliau yang bimbang insiden pencemaran boleh menjejaskan pendapatannya dan mengharapkan kerajaan negeri memandang serius masalah ini.

Memandangkan isu ini adalah serius, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas dan wajar kepada pelaku.

“Akak berniaga dan telah duduk sini lebih 30 tahun jadi memang tak suka kalau ada perkara sebegini. Ini kawasan kampung, ramai anak kecil dan orang tua. Kesian mereka kalau terjadi perkara lebih buruk,” katanya.

Nawijianti menambah, biarpun sudah lama menetap di sini, dia tidak tahu kewujudkan kilang haram di kawasan sekitar.

“Bila pihak sekolah minta ibu bapa ambil anak baru kami tahu ada kilang haram,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Malaysia Gazette di kawasan itu mendapati penduduk Kampung Sungai Tiram meneruskan aktiviti harian seperti biasa hari ini.

Namun sebahagian murid-murid sekolah mengenakan pemakaian pelitup muka dan hidung.

Tinjauan di sekitar kawasan sungai itu juga tidak dapat mengesan bau pencemaran seperti mana yang didakwa penduduk kampung.- MalaysiaGazette

28 warga Sekolah Sungai Tiram pening, muntah akibat pencemaran