JOHOR BAHRU –  Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini belum dapat mengesan punca sebenar pencemaran bau kimia yang menyebabkan seramai 24 murid, dua guru dan dua pembantu kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini mengalami pening dan muntah, kelmarin.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, bacaan ‘methyl mercaptan’ yang dikesan di lokasi berhampiran tidak boleh dikategorikan sebagai punca sebenar.

Malah, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran bau itu.

“Oleh itu, JAS belum dapat membuat kesimpulan punca sebenar,” katanya di sini hari ini.

JAS telah menjalankan pengawasan kualiti udara bersama HAZMAT dan mendapati kualiti udara di kawasan berkenaan berada pada paras baik.

Malah, JAS juga menjalankan pemantauan berkala  menggunakan dron di sekitar lokasi aduan dan mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan dan tiada tapak pelupusan haram dikesan,

Pegawai penyiasat juga telah menerbangkan dron di lokasi berhampiran dan laporan yang diterima tidak menemukan tapak buangan pelupusan haram atau sisa berjadual di kawasan ini,” ujarnya.

Kelmarin, seramai 24 orang murid, dua guru dan dua pekerja kantin di SK Sungai Tiram itu mengalami muntah-muntah akibat terhidu bau busuk.

Dalam pada itu, Mohd. Famey berkata, sebuah premis yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses suludge palm oil (SPO) tanpa lesen daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MPPG) diarah supaya menghentikan operasi mereka.

Mohd Famey berkata, semasa siasatan dijalankan premis berkenaan didapati tidak menajalankan operasi aktiviti pemanasan SPO.

“Semua premis kita syaki telah diperiksa, namun bukan berpunca dari premis tersebut.

“JAS masih lagi membuat siasatan sebab kawasan sekolah itu terdapat kawasan penempatan, juga kedai runcit dan klinik kesihatan,” tambahnya yang tidak menolak kemungkinan pencemaran itu berlaku hasil pembuangan sisa pihak luar.

Katanya, MBPG yang sudah membuat ujian kualiti air Sungai Tiram tetapi tidak menunjukkan keadaan abnormal.

Selain itu, kualiti udara juga dalam keadaan normal, katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast