Chow Kon Yeow bersama Daniel Gooi (calon DUN Padang Lalang) semasa walkabout di Pasar Awam Taman Sri Rambai di Bukit Mertajam pagi hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Sebahagian daripada Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan dibarisi dengan muka-muka baharu sekiranya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menang bergaya pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ketua Menteri yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana kebanyakan calon yang bertanding menampilkan banyak muka baharu.

“Memandangkan barisan calon dari perpaduan khususnya dari DAP dan PKR menampilkan banyak muka baharu maka secara semulajadinya pembentukan barisan Exco (Pulau Pinang) nanti semestinya ada muka-muka baharu.

“Sebab yang masih sebahagian dari Exco lama adalah cuma saya sebagai ketua menteri dan dua Exco sahaja, maka ini membuka ruang kepada saya membentuk barisan Exco baharu meneruskan perjuangan kita dalam bangunkan negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas sesi walkabout ke Pasar Awam Taman Sri Rambai, Padang Lalang pagi tadi.

Turut hadir berkempen, calon DUN Padang Lalang, Daniel Gooi Ze Sen dan DUN Bukit Tengah Gooi Hsiao Laung selain bekas ADUN kawasan Padang Lalang Chong Eng dan Ahli Parlimen DAP-Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan kini terlibat dalam siri jelajah ke setiap kawasan DUN sehingga gabungan perpaduan mendapat sokongan pengundi.

“Kita sudah lancarkan manifesto perpaduan pada selesa lepas dan berjanji akan menunaikan manifesto 2023 dengan sedaya upaya.

“Gabungan perpaduan ini sudah ada satu pelan inklusif dan mahu membangunkan Pulau Pinang berlandaskan bukan sahaja Manifesto Perpaduan 2023 tetapi kesinambungan visi Penang 2030 yang cuba dilaksanakan pada penggal sebelum ini yang masih berbaki tujuh tahun sebelum tamatnya Visi Penang 2030,” ujarnya. – MalaysiaGazette