Mohd Rizal melakukan pemantauan di Kampung Sungai Tiram pada hari ke empat kejadian.

ULU TIRAM – Tahap bacaan udara di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram di sini berada di tahap selamat selepas dikaitkan dengan pencemaran baru-baru ini.

Bagaimanapun Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, PPjB Ts. Mohd Rizal Buang berkata, pemantauan menyeluruh tetap dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

‘”Dari segi bacaan kita adalah selamat dan murid-murid juga telah bersekolah semula pada hari semalam dan kita juga tidak menerima apa-apa laporan kes pening kepala dan loya seperti sebelum ini.

“Tetapi kita tidak menafikan bacaan 50 itu memberi kesan kepada bau dan sebagainya tetapi tidak mencapai bahaya. Hari ini merupakan hari ke empat kejadian jadi seperti maklum kita terima panggilan kira-kira 3.15 minit petang hari kejadian kita beroperasi hari tersebut dengan balai bomba Johor Jaya dan Larkin.

Mohd Rizal

“Kemudian sebelah malam kita (bomba) minta bantuan Melaka kerana kita  memerlukan bacaan radius yang lebih besar berbanding dengan hari terawal kita hadkan kepada 1 kilometer radius dan pada 2 Ogos telah arahkan untuk tutup sekolah bagi memberi  ruang kepada anggota penyelamat,’ katanya ketika ditemui hari ini..

Jelas Rizal juga, pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada JAS dan Majlis Perbandaran Bandarayaya Pasir Gudang ( MBPG) untuk tindakan lanjut bagi menguji sampel di jabatan kimia secara terperinci.

Sementara itu, hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati tiada lagi sebarang unsur bau busuk atau bau bahan terbakar seperti  dihidu penduduk sebelum ini.

Semalam Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pemantauan yang dilakukan pasukan penyiasat JAS bersama Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan MBJB turut mendapati kualiti udara serta sampel yang diambil daripada tali air serta sungai di kampung tersebut  adalah normal.

Pada Selasa lalu seramai 24 pelajar dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaam Sungai Tiram di sini mengalami pening dan muntah selepas dipercayai terhidu bau pencemaran kimia di sekolah itu.- MalaysiaGazette