Hafizah Othman

SEREMBAN – Tempoh berkempen memasuki ‘pusingan’ pertama hari ini namun pengundi masih belum dapat memastikan calon mana yang layak diangkat sebagai wakil rakyat mereka pada 12 Ogos ini.

Rata-rata pengundi ketika ditemui MalaysiaGazette dilihat masih belum berpuas hati kempen dilakukan calon bertanding yang hanya pandai ‘sembang kencang’ dan tidak realistik dengan keadaan semasa.

Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, Muhammad Haider Abdul Kudus, 37, berkata, calon sepatutnya mengemukakan apakah rancangan untuk memulihkan ekonomi setempat apabila dipilih kelak.

Muhammad Haider Abdul Kudus

“Ini saya tengok, banyak calon yang setakat tahu ‘sembang kencang’ sahaja tanpa ada rancangan untuk memulihkan ekonomi kita yang semakin tertekan.

“Sebab itu, wakil rakyat yang dipilih nanti, tolonglah jaga rakyat yang semakin susah dan paling penting kotakan janji ditabur sewaktu memancing undi sepanjang dua minggu ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pandangan sama dilontarkan peniaga, Hafizah Othman, 50, yang mengundi di DUN Ampangan.

“Sudah terlalu banyak PRN terpaksa dihadapi rakyat sekarang ini sampaikan susah untuk kita memilih calon mana yang betul-betul boleh mendengar suara kami, boleh buat kerja seperti yang dipertanggungjawabkan.

“Sekarang ini kita tak tahu, mereka mahukan jawatan itu untuk kepentingan siapa, rakyat ke kepentingan sendiri? Bila kita dah pilih pemimpin mana yang kita hendak jadi sebaliknya pula,” katanya.

Ahmad Sanusi Mohd Said

Peniaga, Ahmad Sanusi Mohd Said, 34, pula berharap calon-calon bertanding berhenti menaburkan janji ‘bulan bintang’ sebaliknya tampil dengan kempen berfakta yang ikhlas mahu dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

“Takutlah pada tuhan dan seganlah pada Rasulullah SAW kerana kalau kita menipu, apa pula kita nak jawab pada Allah nanti. Ekonomi kita makin hari makin susah jadi jaga dan rancanglah sebaik-baiknya demi rakyat,” katanya.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan seramai 83 calon bertanding berebut 36 kerusi DUN dengan PN meletakkan calon di semua kerusi diikuti PH (19), Barisan Nasional (17), Muda (1) dan bebas 10 orang. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast