KUALA SELANGOR – Keikhlasan seseorang calon yang masuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) antara mengejar jawatan ataupun berkhidmat untuk rakyat boleh diukur daripada kesediaannya bertemu pengundi sebelum musim pilihan raya.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, jika seseorang calon itu hanya muncul untuk bertemu pengundi sebaik sahaja dinamakan sebagai calon, itu satu petanda awal untuk individu tertentu itu tewas lebih awal.
“Kalau dekat pilihan raya baru nak turun, itu tanda-tanda nak kalahlah. Kau selama jadi wakil rakyat, tak nampak batang hidung, dah nak pilihan raya baru nampak batang hidung.
“Dulu waktu saya nak bertanding, saya buat kerja macam biasa. Itu sebab saya nasihat Nurul supaya jangan dilihat waktu nak bertanding baru nampak muka,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, anak Noh, Nurul Syazwani, antara calon PN daripada Bersatu menyerahkan borang pencalonan sebagai calon PN bagi kerusi N09 Permatang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Selangor.
Kerusi Dewan Negeri Permatang bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Syazwani dengan Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi N09 Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).
Rozana memperoleh 9,208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8,050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.
Dalam pada itu, Noh sentiasa mengingatkan Nurul Syazwani bekerja lebih kuat menyantuni pengundi, apatah dia tiada pengalaman memasuki mana-mana pilihan raya sebelum ini.
“Nurul ini sebab dia minat, sebelum bulan puasa lagi dia sudah mula turun padang, dia jalankan program dan aktiviti kebajikan.
“Nurul dalam Puteri pun dia sudah turun padang, orang baru bertanding memang kena kerja kuat tambah pula nak perkenalkan diri.
“Nurul mesti tunjukkan kesungguhan dan bercampur dengan rakyat, bayangkanlah tak dapat jadi calon, anggap itu satu kerja kebajikan untuk rakyat,” katanya.
Ditanya tentang keberadaan Noh yang dilihat sentiasa bersama dengan anak perempuannya setiap kali berkempen, beliau bagaimanapun berkata, hanya program penting sahaja termasuk ceramah akan dihadirinya.
“Saya tak ikut dia (Nurul) selalu, pagi tadi pun saya tak ikut dia, bila saya tengok bila ada ceramah, saya turun, bukan hari-hari turun, tak ada.
“Saya tak ada jawatan pun dalam jentera sini, saya hanya sebagai pemerhati dan memberikan pandangan dan berkongsi pengalaman saya untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita kasi menang, yang penting PN menang, sebab itu perjuangan saya ikhlas, yang penting masuk nanti orang ingat nak kejar jawatan laa, saya tak ada, saya nak menangkan PN dulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette