Oleh: Dr Nor Azlida Mohd Nor & Dr Ainol Haniza Kherul Anuwar
KENAIKAN kos sara hidup telah menjadi isu yang semakin meruncing dan memberi kesan mendalam kepada penduduk di Malaysia pada masa kini. Kenaikan harga barangan seperti makanan, perumahan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan telah menyebabkan beban kewangan yang tinggi terhadap individu dan keluarga. Dalam konteks penjagaan kesihatan, salah satu aspek yang terkesan adalah penjagaan kesihatan pergigian.
Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa kesihatan pergigian sering diabaikan apabila keluarga menghadapi tekanan kewangan kerana perlu mengutamakan keperluan asas yang lain. Kajian di Malaysia juga menunjukkan bahawa faktor sosioekonomi seperti pendapatan dan status sosial memainkan peranan penting dalam akses dan penggunaan perkhidmatan kesihatan pergigian. Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan bahawa hanya 23% individu yang mengalami masalah pergigian menggunakan perkhidmatan pergigian.
Kajian ini juga menunjukkan kebergantungan penduduk Malaysia (80.7%) terhadap perkhidmatan kesihatan pergigian awam, manakala perkhidmatan swasta kebanyakannya digunakan oleh penduduk bandar dan berpendapatan tinggi. Dalam kalangan mereka yang menggunakan perkhidmatan ini, hampir dua daripada lima individu membayar kos rawatan pergigian dengan menggunakan duit poket sendiri.
Kenaikan kos bahan dan pengurusan klinik pergigian juga dirasai oleh pengamal pergigian, ini secara tidak langsung menyumbang kepada kenaikan caj rawatan terutama di sektor swasta. Selain itu kekangan kewangan juga dirasai di sektor awam pergigian dengan bajet operasi yang minimum untuk liputan perkhidmatan yang luas. Keadaan ini meresahkan masyarakat terutamanya pada golongan berpendapatan rendah.
Akibatnya, ada individu yang terpaksa menanggung kesakitan, mengabaikan masalah pergigian, melewatkan rawatan, bahkan ada yang terjebak dengan rawatan pergigian dari pengamal yang tidak bertauliah. Walaupun klinik kerajaan menyediakan rawatan pergigian bersubsidi dengan bayaran yang minimum, tempoh dan senarai menunggu adalah lebih lama berbanding di klinik swasta. Selain itu, akses ke klinik pergigian melibatkan kos tambahan, terutamanya kos pengangkutan.
Bagi penduduk yang berpendapatan rendah, kos pengangkutan seperti tambang bas, teksi, e-hailing, atau kos minyak petrol dapat memberikan tekanan tambahan kepada individu atau keluarga yang ingin mendapatkan rawatan pergigian di klinik. Selain itu, di bandar-bandar besar, penduduk juga menghadapi bebanan kos lain seperti bayaran parkir yang sering menjadi keluhan para pesakit.
Dalam konteks kesihatan mulut, rutin memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berflorida secara efektif dapat mencegah masalah pergigian. Namun hakikatnya, masih terdapat individu yang terjejas disebabkan ketidakmampuan mereka untuk membeli kelengkapan asas penjagaan kebersihan diri, termasuk berus dan ubat gigi.
Malah ada keluarga yang masih berkongsi berus gigi dan ini memberikan kesan risiko jangkitan dan penularan bakteria dari satu individu ke individu lain. Tanpa amalan penjagaan kebersihan gigi yang baik, individu tersebut berisiko tinggi untuk mendapatkan masalah pergigian dan akhirnya memerlukan rawatan yang lebih kompleks dengan kos yang tinggi.
Langkah-langkah perlu diambil untuk meringankan beban yang menimpa golongan yang terkesan. Usaha kolektif dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan pihak berkepentingan lain adalah penting dalam mencapai objektif ini. Inisiatif boleh dilaksanakan dengan menyediakan bantuan kelengkapan asas penjagaan diri seperti berus gigi dan ubat gigi berfluorida secara berkala kepada golongan yang memerlukan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengecualian cukai untuk rawatan pergigian dan perlindungan insurans swasta bagi kumpulan pendapatan lain juga boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan. Selain itu, jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk menyediakan rawatan pergigian asas dengan harga berpatutan kepada golongan berpendapatan rendah di klinik swasta.
Sesetengah fasiliti pergigian swasta juga kini sudah menawarkan kemudahan bayaran ansuran dan fleksibel, membolehkan individu menguruskan sumber kewangan dengan lebih efektif. Pendekatan ini dapat memperluaskan akses perkhidmatan pergigian dan mengurangkan kebergantungan kepada klinik kerajaan.
Dengan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan, badan kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta, langkah strategik dapat di lakukan untuk meningkatkan tahap kesihatan pergigian di kalangan penduduk Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Pergigian di Universiti Malaya