KUALA LUMPUR – Median upah bulanan pada Mac 2023 bagi pekerja formal warganegara adalah sebanyak RM2,600 dengan bilangan pekerja formal warganegara seramai 6.45 juta orang.
Jika dilihat dari segi jantina, pada Mac 2023, pekerja formal lelaki merangkumi 55.5 peratus atau seramai 3.58 juta orang dengan median upah sebanyak RM2,664 sebulan.
Sementara itu, 44.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal diwakili oleh pekerja perempuan bersamaan dengan 2.87 juta orang dengan median upah bulanan sebanyak RM2,545.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan dengan Mac 2022, median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan menunjukkan trend yang meningkat, masing-masing sebanyak 8.0 peratus, dan 8.6 peratus.
Menurutnya, median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 direkodkan oleh pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun sebanyak RM3,500.
Kedua-dua kumpulan ini secara kolektif membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal.
Seterusnya, median upah bulanan mula menunjukkan penurunan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun dengan median upah bulanan sebanyak RM3,400 pada Mac 2023 sebaliknya, kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 (Mac 2023).
Mengulas lanjut tentang situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, Mohd Uzir berkata, kesemua sektor merekodkan peningkatan dalam median upah bulanan.
Bagi sektor perlombongan & pengkuarian, walaupun hanya mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM7,500.
Manakala, median upah bulanan terendah diterima bagi sektor pertanian iaitu sebanyak RM1,900, menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2023.
Beliau menambah, pada Mac 2023, median upah bulanan tertinggi diterima oleh Kuala Lumpur sebanyak RM3,927, diikuti oleh Selangor sebanyak RM2,964 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,627.
Manakala Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan yang rendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,627 dan RM1,782, dalam tempoh yang sama.
Dari segi taburan upah pada Mac 2023, 34.8 peratus daripada pekerja formal Malaysia menerima pendapatan di bawah RM2,000 namun peratusan ini menurun daripada 40.2 peratus yang direkodkan pada bulan Mac 2022,
berkemungkinan kesan daripada kenaikan kadar gaji minimum mulai Mei 2022.
Pada masa yang sama, kira-kira 5.2 peratus pekerja formal warganegara menerima upah tertinggi (RM15,000 dan ke atas).
Sungguhpun begitu, nisbah upah antara kumpulan penerima upah tertinggi (persentil ke-90) dan kumpulan penerima upah terendah (persentil ke-10) menggambarkan penerima upah di kelas yang tertinggi menerima lebih
dari 6 kali ganda upah berbanding penerima upah di kelas yang terendah. – MalaysiaGazette