Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan siapa calon mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu selepas ketetapan berhubung calon yang layak diputuskan nama mereka kemudiannya akan diangkat ke Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Selalunya kita menghormati keputusan lama iaitu kerusi (milik) Amanah tapi, (calon) akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan diangkat kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 September depan dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah akibat pendarahan otak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast