Calon Perikatan Nasional (PN) N.21 Pandan Indah, Fazil Bin Mohamad Dali atau lebih dikenali sebagai Cikton beramah mesra bersama orang awam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pasar Malam Pandan Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OGOS 2023.

AMPANG – Calon Perikatan Nasional (PN), Fazil Mohamad Dali bersedia mempertahankan Taman Kencana sekiranya kawasan itu akan dijadikan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

Beliau yang juga dikenali sebagai Cik Ton berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada pilihan raya negeri, bantahan penduduk akan menjadi fokus utamanya.

“Saya ikut majoriti, kalau ramai penduduk bantah, saya akan bersama mereka menghalang kawasan ini jadi jajaran MRT3,” katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk Taman Kencana di sini malam tadi.

Calon PN bagi kerusi DUN Pandan itu yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT) dan berusia 49 tahun.

Cik Ton juga berjanji akan membantu menyelesaikan masalah rakyat di DUN Pandan Indah sekiranya diberi peluang.

Antara isu keutamaannya termasuk masalah penduduk miskin bandar.

Sepanjang enam hari berkempen, Cik Ton merasakan sokongan kepada PN semakin meningkat di DUN Pandan Indah.

Malah beliau juga mendapat sokongan ramai termasuk golongan tua yang dapat menerima kehadiran PN di kawasan itu.

Cik Ton menghadapi tentangan hebat dari peyandang kerusi berkenaan, Ir Izham Hashim dari Pakatan Harapan dan calon MUDA, Lisa Redzuan dan calon bebas, R. Sivaneswaran dalam PRN kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast