Foto Perak FC.

KUALA LUMPUR – Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengesahkan salah seorang pemainnya, Seo Seonung patah hidung selepas ditendang di muka oleh pemain Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin.

Kecederaan tersebut memerlukan Seo untuk berehat bagi satu tempoh yang agak panjang, lapor wartawan sukan Astro Arena.

Rodney menendang muka Seo Seonung pada separuh masa kedua ketika Kedah sedang ketinggalan 2-1 yang mana pemain itu memberi tindak balas selepas dikasari oleh pemain dari Korea Selatan itu.

Pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal tidak teragak-agak untuk terus melayangkan kad merah ke atas bekas pemain Selangor itu dan Rodney bakal terlepas aksi kedua di laman sendiri pada 18 Ogos ini.

Sekiranya skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya menewaskan Perak dan mara ke peringkat suku akhir, Rodney masih dilarang bermain ekoran penggantungan.

Selepas kejadian semalam, ramai peminat mahu Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi hukuman berat ke atas Rodney kerana  menyebabkan kecederaan serius terhadap pemain lawan.

Pada perlawanan semalam, Perak bermula garang selepas sepakan penjuru Fayadh Zulkifli Amin ditanduk masuk ketua pasukan, Manuel Ott yang tidak dikawal pertahanan Perak.

Jaringan penyamaan dinantikan Perak hadir pada minit ke-47 apabila Luciano berjaya menyempurnakan sepakan penalti walaupun Kalamullah sudah membaca arah sepakan tersebut.

Perak menambah gol kedua hasil tolakan leret Luka Milunovic setelah menerima cutback daripada Firdaus Saiyadi bagi meletakkan tuan rumah dihadapan.

Hakimi Isa mematikan api perjuangan pasukan pelawat pada minit ke-87 apabila lariannya setelah menerima umpanan cantik Luciano disudahkan pemain muda itu denhan tenang untuk memastikan kelebihan dua gol dimiliki Perak. – MalaysiaGazette