ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN), Baddrol Bakhtiar mendapat suntikan semangat baharu untuk terus mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri ketika ini sebelum hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Ini kerana calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun itu menghargai kata-kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memilih dirinya untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan pandai berceramah.
“Teringat lagi saya kata-kata panglima (Sanusi) kita, aku pilih dia bukan untuk ceramah, aku pilih dia untuk buat kerja.
“Kepada semua rakyat Gurun. Berilah peluang kepada saya untuk buktikan. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik,” katanya di media sosial.
Semalam, Muhammad Sanusi dan Baddrol hadir pada Santai Petang di Tapak Parking Medan Gurun Jaya yang dihadiri ramai penduduk setempat.
Sebelum ini, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Lembah Jaya, Altimet tampil mempertahankan bekas pemain bola kebangsaan itu yang kelihatan gugup dan kurang yakin semasa memberi ucapan politik.
Dalam satu video yang tular di media sosial, kelihatan Badrol yang akan bertanding bagi DUN Gurun tampil membuat ucapan di salah sebuah ceramah politik di Kedah.
Bagaimanapun beliau dikecam kerana memberi ceramah sambil melihat skrip.
Bagi segelintir netizen, tindakan Badrol itu tidak mencerminkan seorang ahli politik yang sepatutnya bercakap dengan yakin tanpa memerlukan sebarang skrip.
Tetapi bagi Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, orang ramai perlu memberi Badrol masa untuk menyesuaikan diri.
“Bagi dia masa. Semua org mula dalam keadaan kurang mahir. Berucap ni satu skill yang boleh asah dengan berlatih,” katanya yang penyanyi.
Sebahagian netizen menyokong kenyataan Altumet itu kerana bagi mereka, Badrol baru sahaja terjun dalam bidang politik selepas umum bersara daripada bola sepak profesional.
Pada PRN nanti, Baddrol bakal berdepan calon PH yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi PKR Kedah dan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari. – MalaysiaGazette
Badroll bakal Menteri Besar Kedah jika PN menang PRN.