Dominic Lau

TELUK KUMBAR – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai memaklumkan beliau telah menerima permohonan maaf dari Pas yang diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan hati terbuka.

Beliau berharap permohonan maaf itu akan menjadi titik noktah kepada semua isu berbangkit membabitkan beliau dan Pas demi memastikan Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat rakyat pada 12 Ogos ini.

“Merujuk kepada surat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin mengenai permohonan maaf (membabitkan insiden di ceramah PN Best Sungai Dua pada 1 Ogos lalu) saya memang reda dengan apa yang telah berlaku dan terima dengan hati terbuka permohonan maaf dari Pas.

“Ini hanya kesilapan kecil dan tidak ada manusia penah lari daripada melakukan sebarang kesilapan.

“Tapi saya nak katakan apa yang betul, apa salah faham berlaku semua ini kita kena letak satu titik noktah untuk sama-sama kita bergerak ke hadapan bagi mendapatkan kepercayaan serta mandat daripada pengundi  Pulau Pinang pada 12 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permohonan maaf terhadap beliau yang diutarakan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Pas merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua yang turut dihadiri oleh Presiden Pas pada Selasa lalu.

Takiyuddin berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan beliau “diminta keluar” dari situ namun bagi kepemimpinan Pas  – kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

“Selain itu, parti pimpinannya Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam PN dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Takiyuddin, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau maka sebagai sebuah parti Islam tertua, Pas percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana malah memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak yang memerlukan. – MalaysiaGazette