SEREMBAN – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang memfokuskan tiga isu utama yang didakwa gagal diselesaikan penyandangnya sejak 30 tahun lalu.
Ahmad Qusyairi Abdull Rahim berkata, ia melibatkan masalah banjir, pengindahan bangunan lama serta isu kerosakan jalan raya dan longkang sehingga menghilangkan identiti Temiang di bandar Seremban itu.
“Selama 30 tahun, kerusi DUN Temiang ini tak dijaga dengan baik menyebabkan berlaku banyak kerosakan jalan raya, papan tanda, longkang tersumbat dan sungai tidak diselenggara menjadi punca banjir.
“Banyak juga bangunan-bangunan lama tidak diurus dengan baik dan terbiar sehingga ditumbuhi pokok liar menjadikannya semak samun kerana tiada usaha pengindahan dibuat,” katanya.
Menurut Ahmad Qusyairi, semua permasalahan itu dilihatnya sendiri sepanjang tempoh enam hari berkempen dan bertemu pengundi yang meluahkan kekecewaan mereka terhadap perkara itu.
“Semua masalah ini dikatakan sudah diadukan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan diambil sehingga mereka terpaksa menggunakan media sosial untuk mengadu terus kepada pemimpin tertinggi negara.
“Sepanjang kempen, kita menerima reaksi sangat positif daripada penduduk yang mahukan seorang pemimpin mewakili mereka untuk segera menyelesaikan semua isu berkenaan,” katanya.
DUN Temiang yang mempunyai 13,085 pengundi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara dua muka baharu, Ahmad Qusyairi dan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Chua Eng Pun menentang penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Ng Chin Tsai.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Chin Tsai mengekalkan kemenangan DAP selama tiga penggal berturut-turut dengan majoriti 3,063 undi menewaskan calon BN dan Pas. – MalaysiaGazette