Dominic menyantuni pengunjung medan selesa di Sungai Ara, Pulau Pinang malam tadi.

BAYAN LEPAS – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan Pakatan Harapan (PH) mula goyah berdasarkan kenyataan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang meminta parti itu menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Jelas Dominic, kenyataan Chow Kon Yeow itu secara tidak langsung menggambarkan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan di kerusi-kerusi milik PH negeri ini.

“Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih bekas Ketua Menteri (Kon Yeow) kerana ambil berat tentang PN.

Dominic.

“Namun suka saya jelaskan, isu membabitkan PN kita diselesaikan sesama kita sendiri (gabungan parti) jadi tak payahlah bekas ketua menteri risau tentang kami (Gerakan),” katanya ketika ditemui malam tadi.

Terdahulu, Dominic mengadakan walkabout serta menyantuni pengunjung medan selera di Sungai Ara di sini.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, fokus pihaknya kini lebih kepada mendapatkan sokongan serta mandat daripada penduduk berbanding menguar-uarkan isu dalaman parti.

“Saya rasa dia (Kon Yeow) takut kita menang kerusi mereka sebab itu nak kita tarik diri. Pesanan saya, tak perlu takut lawan tetap lawan sehubungan itu biarlah kita bersaing cara sihat dan memberi fokus kepada pengundi,” katanya.

Semalam, Kon Yeow dilaporkan berkata, Gerakan patut menarik diri daripada PRN jika masih bermaruah.

Ia rentetan Dominic didakwa dihalau menyertai ceramah PN Best di Sungai Dua pada 1 Ogos lalu serta kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mendakwa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Gerakan akan berundur jika PN mula mengamalkan ekstremisme sekiranya diberi mandat.

“Mereka patut protes. Protes sekarang. Jangan tunggu kemudian,” kata Kon Yeow sambil menambah Pas akan terus memainkan isu 3R (raja, kaum dan agama) bagi menarik undi Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast