KUALA LUMPUR – Seramai 101 graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di institut pengajian tinggi (IPT) diraikan Yayasan Bank Rakyat dalam Majlis Kecemerlangan Akademik di sini malam tadi.
Pada majlis itu, YBR menyampaikan sumbangan bernilai keseluruhan RM101,000 beserta sijil penghargaan kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan PNGK 3.50 ke atas bermula Julai 2022.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang di sebuah hotel di sini, yang turut dihadiri Naib Pengerusi, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Lembaga Pemegang Amanah YBR dan Pengurus Besar, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Dalam ucapan pengerusi, beliau berkata, ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 seorang itu diberikan kepada graduan yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang serta sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian membanggakan sepanjang tempoh pengajian.
“Anugerah Kecemerlangan Akademik yang diperkenalkan sejak 2015 ini merupakan salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir.
“Seramai 89 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, manakala 12 graduan dari peringkat Ijazah Sarjana menerima anugerah ini yang diharap dapat memberi dorongan serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya serta berbakti kepada bangsa dan negara,” katanya.
Philip berkata, YBR menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada biasiswa bagi pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang.
Sementara itu, dalam majlis sama, YBR menyerahkan 25 komputer riba fizikal kepada 25 pelajar yang cemerlang matrikulasi tajaan yayasan itu di kalangan B40 untuk melanjutkan pengajian ke IPT.
Inisiatif ini merupakan satu jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar cemerlang matrikulasi yang kurang berkemampuan untuk belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif.
YBR telah memperuntukan kuota 25 pelajar cemerlang matrikulasi yang terpilih setiap tahun bagi menerima biasiswanya YBR-BMKPM selama empat tahun meliputi elaun sara diri, buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan memulakan semester.
Dalam pada itu, salah penerima anugerah, Jasmine Hamdan, 29, jurusan Ijazah Falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan PNGK 4.00 berkata, semangat tidak putus asa serta keinginan untuk berjaya adalah elemen penting kepada kejayaannya.
Selain itu, Faridah Hamimi Mohammad Nizam, 26, jurusan Ijazah Sarajana Muda Psikologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan PNGK 3.92 turut berkata, pendidikan mampu meningkatkan taraf hidup seseorang.
Katanya, kesungguhan dan keazaman untuk mendapatkan keputusan cemerlang menjadi matlamat utama sepanjang pengajian.
“Anugerah yang saya terima ini merupakan rezeki hasil usaha dan doa yang tidak pernah putus,” katanya. – MalaysiaGazette