SEREMBAN – Tindakan beberapa pemimpin Pemuda Pergerakan UMNO keluar parti beramai-ramai tidak akan sesekali merencatkan semangat rakan-rakan sayap itu yang masih setia.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sebaliknya berkata, mereka akan terus akan terus mengangkat perjuangan parti walau dalam keadaan yang susah mahu pun senang.
Menurutnya, Pemuda UMNO akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.
“Perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik tetapi pejuangan Pemuda di dalam UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti buat mereka yang telah bersama-sama UMNO selama ini. Kita jumpa di medan pertempuran,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau mengulas tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar dan Ketua Penerangan Pemuda bahagian itu, Ahmad Syauqi Mazlan yang jmengumumkan keluar dari parti semalam.
Tambahnya, bahagian itu kini akan dipangku oleh Azhan Ishak selaku Naib Pergerakan Pemuda UMNO Ketereh.
“Kita berasa dukacita dengan tindakan pihak-pihak yang meninggalkan UMNO di saat parti diuji hebat sedangkan kekuatan sebagai pemimpin dan pendokong parti adalah untuk kekal berada di dalam barisan perjuangan tatkala ia diuji hebat.
“Bukanlah lari meninggalkannya saat dalam serba kepayahan, tetapi kekal bersama hanya ketika manis dan senang,”katanya lagi.
Semalam, Afiq mengumumkan keluar dari parti itu untuk bersama perjuangan bapanya, Tan Sri Annuar Musa dalam Muafakat Nasional (MN).
Keputusan itu disaksikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediamannya di Ketereh, Kelantan.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Ketereh, Sabariah Hamzah turut diumumkan keluar UMNO dan juga menyokong PN diikuti pimpinan lain daripada UMNO Ketereh.
Seramai 20 ahli dan ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Tuan Guru Haji Musa turut melakukan perkara sama sekali gus menyebabkan cabang itu terbubar. – MalaysiaGazette