Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya telah menahan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noh.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan dalam kenyataan turut menafikan laporan media yang mendakwa Muhammad Sanusi telah dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.

“Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di kedah yang melakukan tindakan seperti yang dilaporkan portal berita berkenaan.

“PDRM meminta Astro Awani yang melaporkan berita palsu tersebut membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan berita yang disiarkan,” katanya.

Tambah beliau, satu laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu tersebut.

Menurutnya, tindakan mengeluarkan berita tidak sahih boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat.

Ini lebih-lebih lagi dalam senario kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.-MalaysiaGazette