Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim . Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

BALING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau menganaktirikan Kedah sebaliknya komited untuk membantu aspek pembangunan di negeri itu terutama dalam soal pelaburan asing.

Menurutnya, tidak timbul dakwaan kononnya beliau hanya membantu negeri-negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan seperti Pulau Pinang yang berjiran dengan Kedah.

Tegas beliau lagi, sebagai perdana menteri, pembangunan adil dan sama rata di semua negeri menjadi keutamaannya.

“Dia cakap Anwar ini benci pada orang Kedah, cakap saya bagi semua kat Pulau Pinang tapi saya bagi kat semua (negeri), kat Johor saya bagi, kat Penang saya bagi. Saya ini Perdana Menteri Malaysia faham tak?

“Untuk Kedah saya bawa (syarikat) Infineon tambah pelaburan yang terbesar di luar Jerman, di mana? Di Kulim. Di mana? Di Kedah. (Sebab itu) Kedah kena kalih bagi sama, sebab kita boleh buat kerja. Jadi nak kata saya anti Kedah perhati betul-betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Kedah di Padang Awam Kupang malam tadi.

Turut hadir pada majlis yang sama  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ceramah tersebut adalah program terakhir dalam lawatannya ke negeri Kedah semalam setelah menghadiri Karnival Segalanya Felda di Sik diikuti Taaruf Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan Jelajah Perpaduan Madani Kedah di Alor Setar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas hadir ke program Jelajah Perpaduan Madani Kedah sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Tapak Pasar Malam Kupang, Kuala Ketil, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

Perdana Menteri berkata, Infineon akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM24 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi fasa kedua pembinaan modul 3.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa beliau tidak akan menjadi menteri besar tanpa sokongan dua ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional dalam gabungan itu pada 2020.

Katanya, beliau antara orang bertanggungjawab untuk mengarahkan ADUN BN ketika itu menyokong Sanusi sebagai menteri besar walaupun UMNO ketika itu hanya memiliki DUN Sungai Tiang serta Bandar Baharu selepas wakil rakyat Guar Chempedak menyertai Bersatu.

“Sanusi sebelum jadi menteri besar, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang jumpa saya, Muhyiddin Yassin jumpa saya ketika itu Pas ada 15 DUN, BN tiga, Bersatu tiga, akhirnya BN tinggal batu nisan selepas (ADUN Guar Chempedak sertai Bersatu).

“Ingat hang jadi MB (Sanusi) aku tolong hang waktu itu sebab itu kalau parti hang dengan parti abah kau tak cukup, tanpa UMNO walaupun kami tinggal batu nisan untuk bentuk kerajaan Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast