Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bergambar bersama jentera dah penyokong yang hadir selepas program Jelajah Madani sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2023.

SUNGAI PETANI – Kerajaan Perpaduan yakin telah memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selepas seminggu berkempen di negeri ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) itu mampu meningkatkan jumlah sehingga 15 kerusi memasuki minggu kedua nanti.

Malah menurut beliau, tidak mustahil PH dan BN dapat memenangi 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu pada 12 Ogos ini.

“Yang menjadi pertandingan di bawah ialah di Kedah sebab negeri ini merupakan negeri yang mampu bertukar-tukar kerajaan.

“Setakat ini, saya ingat PH telah melepasi antara lima hingga lapan kerusi selepas berada separuh kempen dan mampu lepasi 15 tapi untuk bentuk kerajaan ialah 19 kerusi.

“Dalam tempoh minggu pertama kita rasa telah lepasi lapan kerusi, kalau kita kekalkan momentum,” katanya ketika berkempen pada Jelajah Madani di Taman Delima di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau tidak ambil kisah dengan ramalan Perikatan Nasional akan menyapu bersih 36 kerusi di negeri ini.

Kata beliau, sepanjang minggu pertama berkempen, keyakinan Kerajaan Perpaduan telah melonjak tinggi berada di tahap sekarang.

“Dalam tempoh seminggu kempen menunjukkan bahawa dari segi naratif kempen PN, mereka dalam mood bertahan dan tidak ada modal.

“Tapi apa yang kita tidak pasti ialah sama ada kita cukup masa minggu ini menyakinkan terutamanya pengundi atas pagar atau pengundi Melayu yang sebenarnya tahu mereka tak puas hati dengan PN tapi masih lagi tebal dengan naratif Melayu Islam,” katanya.

Rafizi juga memberitahu, sokongan pengundi Melayu di Kedah telah naik tujuh peratus dan berharap terdapat peningkatan pada minggu kedua kempen nanti. – MalaysiaGazette