Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan  Wanita UMNO menerima keputusan beberapa ahli jawatankuasa sayap Bahagian Ketereh yang didakwa keluar parti.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, meskipun ia merupakan khabar yang mendukacitakan namun beliau yakin tindakan tersebut tidak akan melumpuhkan UMNO Bahagian Ketereh.

“Bagi pihak Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi khidmat selama ini.

“Pemimpin datang dan pergi tetapi UMNO akan terus tetap teguh dan berdiri. UMNO memerlukan ahli dan barisan kepimpinan yang setia untuk berjuang demi parti dan negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Noraini berkata, Wanita UMNO Bahagian Ketereh akan dipangku oleh Naib Ketua Wanita Bahagian Ketereh, Marzuani Ardilla Ariffin.

Ia susulan Sabariah Hamzah antara yang telah keluar daripada parti tersebut.

Semalam dilaporkan kepimpinan Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Ketereh meletakkan jawatan beramai-ramai dan keluar daripada UMNO bagi memberi sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh iaitu Kamaruddin Said bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar antara yang bertindak sedemikian.-MalaysiaGazette