Calon Pakatan Harapan N.20 Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai Altimet beramah mesra bersama komuniti masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) DUN Selangor di Pangsapuri Desa Lembah Permai, Ampang. Foto WAN NABIL NASIR, 06 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad sedar bukan semua pengundi akan menyokongnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Namun artis yang lebih dikenali dengan panggilan Altimet itu berkata, beliau berlapang dada mengenai perkara itu dan perjuangannya adalah untuk semua tanpa mengira ideologi politik, kaum atau latar belakang.

“Kita tidak boleh buat semua sokong kita bukan, apabila kita terima maklum balas pengundi dan penduduk di sini ada yang tidak sokong kita, saya hanya sekadar berlapang dada sahaja.

“Pada saya yang penting saya mahu all out untuk semua penduduk di sini. Kita sudah masuk gear lima, esok enam dan lusa gear tujuh, kita tidak tunggu, berputus asa sebaliknya akan terus mendekati, menyantuni tanpa janji populis atau retorik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti India di Pangsapuri Desa Permai, di Ampang, dekat sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan N.20 Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai Altimet berbual dengan penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Pangsapuri Desa Lembah Permai, Ampang. Foto WAN NABIL NASIR, 06 OGOS 2023.

Dalam pada itu, Altimet akan mengumumkan manifesto untuk penduduk DUN Lembah Jaya malam ini.

“Jika anda lihat manifesto ini, ianya berdasarkan keperluan, kehendak dan cadangan penduduk di sini. Jika diberikan mandat ini, saya akan laksanakan apa yang termaktub dalam manifesto ini demi pembangunan dan keselesaan masyarakat sini,” ujarnya.

Menurut Altimet, beliau akan memberi tumpuan kepada isu-isu setempat bukan berdasarkan kaum, sebaliknya lokasi.

Tambah beliau, antara masalah rakyat yang akan diberi tumpuan ialah isu sampah yang mana penduduk luar membuang sampah dan isu tekanan air rendah.

Altimet yang juga Ketua Cabang Ampang sudah mula berkhidmat di Lembah Jaya lebih sembilan bulan sebelum DUN Selangor dibubarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast