aspirasi perpaduan
Aminuddin Harun (dua dari kanan) dan Jalaluddin Alias (tiga dari kanan) mempamerkan dokumen aku janji Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan menawarkan 70 inisiatif untuk rakyat di bawah 10 teras utama yang bakal dilaksanakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula untuk mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, teras-teras tersebut merangkumi ekonomi, pelaburan dan infrastruktur; pendidikan dan modal insan; kesejahteraan rakyat; belia, wanita, keluarga, sukan dan keusahawanan serta tanah perumahan.

Menurut beliau, teras-teras lain adalah pertanian; pelancongan dan alam sekitar; agama, adat budaya dan masyarakat Orang Asli; perkhidmatan awam dan Felda.

“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan tanpa mengambil kira batasan agama, kaum, umur, jantina dan status kehidupan,” katanya ketika berucap melancarkan aku janji tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan memberitahu, Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan berteraskan lima tekad bagi mencapai negeri maju, ekonomi mampan dan rakyat sejahtera.

Beliau menambah, lima tekad tersebut bertujuan membangunkan Negeri Sembilan moden 2023-2033, mendaya upaya ekonomi rakyat, pembangunan mesra rakyat, memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan permasalahan rakyat serta pentadbiran berintegriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan

“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan adalah aku janji yang inklusif dan menjadi komitmen pemerintahan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan untuk menjana peluang dan memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat,” jelasnya.

Berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran aku janji tersebut, Aminuddin yakin segala inisiatif yang terkandung dalam aku janji tersebut mampu dilaksanakan setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk di Negeri Sembilan kelak.

“Kita tak ingin berjanji yang tidak dapat dilaksanakan. Dari segi kewangan, insya-Allah kerajaan negeri mampu lakukan dengan baik dan mampu menggembirakan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast