ALOR SETAR – Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Abdul Ramli yang bertanding atas tiket bebas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu diambil setelah mendapati Abdul Ramli melanggar perlembangaan parti.
“Keahlian bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia Jerlun, Kedah, Abdul Ramli, terlucut serta-merta kerana kesalahan melanggar Fasal 10.2.4 Perlembagaan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.03 Kota Siputeh.
“Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum negeri kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
DUN Kota Siputeh mencuri tumpuan dengan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Abdul Ramli tampil menjadi calon bebas.
Abdul Ramli bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN) dan penyandangnya, Dr Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH).
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Kota Siputeh dimenangi Salmee yang meraih majoriti undian sebanyak 1,467 menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Mohd Rejab Md Akhir (Pas) dan Ahmad Azhar Abdullah (BN).
Bersatu sebelum ini memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain selama tiga tahun disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung. – MalaysiaGazette