Anwar hadir Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak memberikan ‘isyarat’ kepada pembangkang yang akhirnya akan merosakkan negara.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pemberian undi kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di enam negeri pada 12 Ogos ini akan menyelamatkan negara daripada kerosakan.

“Pilihan raya ini selamatkan negeri-negeri kita, jangan bagi sikit signal (isyarat kepada pembangkang) baik orang Melayu, Cina dan India.

“Jangan abaikan hak anda (untuk mengundi), anda putuskan macam mana nak jadi negara ini. Jika anda tolak ansur atau main-main dengan undi  dan mereka (pembangkang) menang jadi rosak negara kita.

Anwar ketika berucap.

“Justeru, kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga Pilihan Raya Umum datang (PRU16) selain memberi sokongan kepada semua calon kita di enam negeri PRN,” katanya ketika berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu, Air Itam di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Anwar, beliau akan menggunakan kuasa untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat dan negara.

“Kita mahu negara ini bersatu padu dan aman. Jangan jadi macam negara-negara yang gaduh, kacau bilau antara satu sama lain.

“Saya tidak janji syurga yang tu depa (mereka) janji dan tak sokong kita, saya tak kata neraka tapi saya janji kita akan buat sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette