KUALA LUMPUR – Serahan memorandum bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar oleh 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam kepada pembangkang, hanya akan membantutkan proses penggubalan RUU yang dirangka dengan teliti untuk kepentingan dan manfaat rakyat, khususnya komuniti dan pemilik hartanah usang di kawasan bandar.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Alias Rameli berkata, RUU tersebut kini sedang dalam semakan untuk kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, setelah mendapat kelulusan Peguam Negara, RUU itu perlu dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijangka pada Mac akan datang dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada Mei nanti.
Seterusnya, RUU itu akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2025.
“Berhubung dengan kenyataan yang menyatakan bahawa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) tidak bersetuju dengan penggubalan RUU ini adalah sama sekali tidak benar.
“Hakikatnya JKPTG melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan penggubalan RUU ini di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2024 mengenai ‘Prinsip dan Objektif Cadangan Penggubalan Akta’ yang tertumpu kepada usaha meningkatkan inklusiviti dan daya tahan bandar,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Alias berkata, berkaitan dengan kerisauan Ahli Parlimen Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menyatakan RUU itu akan menghapuskan bangsa Melayu serta golongan B40 dan M40 secara halus juga tidak benar kerana RUU Pembaharuan Semula Bandar berpegang kepada 10 prinsip yang secara strategiknya memastikan ketelusan pentadbiran Kerajaan dan jaminan mengekalkan hak-hak yang dinikmati oleh pemilik hartanah berdaftar.
Antara prinsip utama PSB itu kata beliau, adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah dan penyelarasan kos caj penyelenggaraan yang wajar.
Malah, gubalan RUU berkenaan juga sama sekali tidak menyebabkan pindaan kepada akta-akta lain seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) iaitu Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).
“Kementerian telahpun membuat kajian kepada lebih 17 akta berkaitan pembangunan hartanah termasuklah akta-akta yang disebut bagi mengelakkan pertindihan dan percanggahan dari sudut perundangan.
“Sebaliknya RUU Pembaharuan Semula Bandar ini akan melengkapi akta-akta tersebut malah, telah menyediakan peruntukan tambahan bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik dan pemunya hartanah sedia ada,” jelasnya.
Dari sudut amalan perancangan bandar di seluruh dunia pula beliau berkata, pembaharuan semula bandar telah diiktiraf sebagai kaedah yang paling sesuai bagi menyelesaikan isu-isu dan kemaslahatan perbandaran, kewujudan bangunan lama yang usang dan tidak selamat diduduki.
Katanya, keputusan membiarkan bangunan-bangunan lama kekal usang dengan kemudahan dan infrastruktur yang daif dan tidak berkualiti bukan satu pilihan dalam menjalankan tatakelola dan pengurusan bandar yang berkesan.
“Ikhtiar dan dokongan pelbagai pihak adalah diperlukan dan pendekatan ‘tidak berbuat apa-apa’ (do nothing strategy) bukanlah pilihan Kerajaan Madani yang memfokus kepada aspek kemanusiaan untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat secara jangka Panjang,” katanya.
– MalaysiaGazette
















