PERMATANG PAUH – Pakatan Harapan (PH) harus menebus kekalahan yang dialami di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan merekodkan kemenangan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun masih sedih dengan kekalahan kawasan Parlimen itu kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU lepas, namun beliau reda dan menghormati keputusan rakyat.
“Tak apa lah baru-baru ini kita kalah di Permatang Pauh. Dalam banyak-banyak saya sedih juga sikit, tapi tak apa keputusan itu saya hormat.
“Ada saya marah orang? Tetapi kali ini (PRN Pulau Pinang) saya minta Penanti, Permatang Pasir, Seberang Jaya dan juga calon-calon di kawasan lain perlu bagi kemenangan yang bergaya kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Himpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Taman Guar Perahu, Penanti malam tadi.
Ribuan pengundi dan penyokong yang terdiri daripada penduduk sekitar Guar Perahu membanjiri ceramah Ahli Parlimen Tambun itu.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Shaarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Pada PRU15, kerusi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR selama 40 tahun dan disandang anaknya, Nurul Izzah Anwar tumbang di tangan calon Pas dari Perikatan Nasional (PN).
Nurul Izzah tewas di tangan Muhammad Fawwaz Mat Jan dari Pas dengan majoriti 5,272 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi, Nurul Izzah mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra) memperolehi 473 undi.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan legasi keluarga Anwar juga pernah disandang oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada PRU12 lalu.
Sementara itu, Anwar yakin PH akan mengekalkan pemerintahannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN ini.
Malah katanya, PH berpeluang besar untuk merampas semula Kedah yang dikuasai Pas-PN termasuk kerusi DUN Jeneri yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Sanusi Md Nor.
“Saya tak mahu takabur tetapi saya jangka sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri kita boleh tawan pada PRN kali ini nanti,” ujar Presiden PKR itu.
Sementara itu, Anwar menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke 100 kali lebih baik berbanding Presiden Gerakan Dominic Lau yang kini menyertai PN.
“PN berulang kali caci aku kononnya gagal tadbir negara, keliru, bodoh dan sebagainya termasuk dakwa saya pengkhianat Melayu Islam.
“Bagi aku Anthony Loke 100 kali jauh lebih baik berbanding dengan Dominic Lau (dari) Parti Gerakan. Dominic suatu ketika dulu dia pernah mengutuk tulisan Jawi,” ujarnya.-MalaysiaGazette