William Ng

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja rakan penghantar yang mempunyai isu dengan syarikat-syarikat p-hailing tetapi banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terjejas dengan bayaran komisen yang melampau yang dikenakan oleh syarikat-syarika ini, kata Presiden, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng.

Sebagai contoh, gerai makanan yang ingin menyertai platform p-hailing perlu membayar komisen setinggi 32 peratus kepada syarikat-syarikat tersebut.

Selain itu, jika pemilik gerai ingin mengambil bahagian dalam promosi yang ditawarkan oleh pemilik platform, mereka perlu membayar komisen tambahan sehingga 30 peratus, jika tidak, gerai mereka akan kurang kelihatan di platform tersebut berbanding mereka yang membayar komisen tambahan untuk ‘promosi’.

Akibatnya, kebanyakan PKS tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga produk mereka di platform tersebut untuk menampung komisen yang mencekik darah, menyebabkan pengguna membayar antara 10 hingga 100 peratus lebih apabila membeli
melalui platform p-hailing berbanding dengan membeli terus dari kedai.

Atas alasan untuk menyokong inovasi dan menggalakkan pendigitalan dan e-dagang, pengendali p-hailing telah terlepas daripada kawal selia kerajaan, dan boleh dikatakan menganiaya dan memperhambakan industri yang kononnya disokongi oleh
mereka.

Apa yang mengejutkan kebanyakan PKS ialah pengendali yang sama mengenakan bayaran komisen serendah 8 peratus kepada pemilik restoran berantai yang lebih besar –menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini boleh mendapat keuntungan pada tahap komisen tersebut.

Di negara China, pengendali p-hailing Meituan mengenakan komisen maksimum 12 peratus dan masih melaporkan keuntungan.

“Dalam lawatan saya ke negara Vietnam baru-baru ini, saya mendapati Grab memberi subsidi yang besar kepada perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran makanan mereka. Sebagai contohnya, perjalanan sejauh 2 km menaiki kereta di daerah
Ho Chi Minh memakan belanja sebanyak 21,000 dong (kira-kira RM 4) manakala perjalanan serupa dari Wisma Genting ke Menara Maybank di Kuala Lumpur menelan kos RM 16 kerana adanya ‘surge pricing’;.

Caj Grab di Kuala Lumpur 400% berbandingdi bandaraya Ho Chi Minh untuk perkhidmatan dan jarak yang serupa.

“Saya juga ada memesan penghantaran makanan dari gerai tempatan di Vietnam dan mendapati selepas subsidi daripada Grab, tempahan 5 hidangan makanan laut berharga hanya 148,000 dong (kira-kira RM 28). Ini langsung tidak masuk akal.

Ini menimbulkan persoalan: adakah caj yang terlampau tinggi yang dibayar oleh PKS di Malaysia kepada syarikat p-hailing digunakan untuk mensubsidi perniagaan mereka di pasaran lain di mana syarikat-syarikat tersebut menghadapi lebih persaingan?,” soalnya.

Lantaran itu William berharap pertemuan perdana menteri dengan syarikat-syarikat p-hailing ini dapat merungkaikan beberapa persoalan iaitu:

i) Mengapakah PKS di Malaysia dikenakan caj komisen sehingga 32 peratus sedangkan Meituan di China boleh mengenakan caj serendah 5 peratus?
ii) Mengapakah rangkaian restoran yang lebih besar dikenakan caj serendah 8 peratus manakala PKS, dengan margin yang lebih rendah, dikenakan 32 peratus
selain caj promosi lain?
iii) Adakah PKS di Malaysia mensubsidikan perniagaan di Vietnam?
iv) Bolehkan syarikat-syarikat ini membuka akaun mereka dan menunjukkan hasil, rebat dan subsidi serta kos untuk pasaran Malaysia berbanding dengan operasi mereka di Vietnam dan Indonesia?

Jelasnya, adalah penting untuk kita menggalakkan pilihan dan persaingan dalam industri p-hailing.

Jika ini tidak dapat dilakukan kerana sifat monopoli atau oligopoli industri tersebut, mungkin kita perlu memecahkan monopoli industri tersebut dengan mengehadkan keupayaan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor industri atau
mengehadkan komisen mereka melalui perundangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast