Datuk Seri Jalaluddin Alias

JEMPOL – Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin terdesak untuk meraih undi apabila secara berterusan menyerang peribadi calon lawannya sebagai modal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 12 Ogos ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, memasuki hari ke sembilan kempen, kebanyakan pemimpin dan calon mereka gagal mencari isu setempat, sebaliknya lebih gemar memainkan sentimen emosi.

“Itu adalah adalah pendekatan digunakan oleh Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainudin), presiden dan kebanyakan pemimpin mereka yang tak mempunyai isu lain selain yang boleh menimbulkan rasa tak puas hati, marah dan memainkan emosi para pengundi.

“Mereka terdesak kerana ke mana-mana pun kita pergi, mereka (rakyat) yakin bahawa Kerajaan Perpaduan memikirkan soal lima dan 10 tahun akan datang untuk masa depan orang Melayu, Cina India dan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata demikian ketika ditemui media pada program santai bersama masyarakat Cina DUN Pertang di sini hari.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Semalam, Hamzah dalam ceramahnya di Juasseh menyeru ahli UMNO yang sayangkan parti itu supaya mengundi calon PN sekali gus membolehkan kemenangan mereka mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri berkata, gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk memilih calon Menteri Besar apabila menang PRN kali ini.

“Kita ambil keputusan untuk bekerja bersama-sama sebagai pasukan besar dan keputusan untuk menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan itu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti PH dan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast