TASEK GELUGOR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menepis dakwaan pihak luar kononnya ‘Gelombang Hijau’ bakal memberi laluan selesa kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang dan menawan enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hasil tinjauannya mendapati trend sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) semakin meningkat daripada 41 peratus kepada 45 peratus.
Kajian itu sudah melepasi paras untuk mempertahankan semula kemenangan selesa di tiga negeri yang ditadbir selama ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, PH-BN perlu berkempen secara lebih agresif mendekati pengundi khususnya pengundi muda bagi memperoleh kemenangan bergaya di setiap negeri.
“Ketika ini, kita mendapati terdapat peningkatan ketara dalam sokongan pengundi Melayu untuk PH-BN di negeri Kedah dan Kelantan.
“Cuma asas kekuatan undi Melayu PN di Kedah dan Kelantan memang sudah tinggi dan kekal pada kadar sama satu sejak dua minggu lalu.
“Namun, di negeri Terengganu sahaja pada pandangan saya PN masih kekal mendahului kita dan ini saya akui secara terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita di Ceramah Mega Malaysia Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar di Padang Taman Telok Ayer Tawar Indah di sini, hari ini.
Kesimpulannya, bukanlah laluan mudah untuk PN seperti mana PRU lalu.
Dalam pada itu, beliau dalam ceramahnya menyangkal dakwaan PN kononnya kedudukan Melayu di negara ini terancam ekoran gabungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sentimen berkenaan dimainkan PN bagi mengalih perhatian terhadap segelintir pemimpin mereka yang dikatakan tamak kuasa.
“Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, membabitkan semua parti dengan idea itu dibantah Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ia bukannya ditolak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Pengerusi PH. Masalahnya mereka (PN) Muhyiddin dan Hadi Awang menolak (cadangan tuanku) dengan yakin memaklumkannya kepada umum kerana ketika itu dia (Muhyiddin) yakin boleh memecahbelahkan UMNO dengan ‘mencuri’ 10 Ahli Parlimen UMNO.
“Namun, tiba-tiba cerita sekarang bertukar terus kepada (kedudukan) Melayu diancam pula. Ia bukan soal ini, sebaliknya dia (Muhyiddin) gila kuasa dan tidak mahu merendahkan diri serta mengetepikan perbezaan demi menumpukan perhatian kepada rakyat.
“Bila sudah terlajak dan tidak boleh jadi PM, sekarang dia bakar kata Melayu terancam sebab kononnya mahu beritahu UMNO sekarang bukan seperti UMNO dulu,” tegasnya.