Aksi calon Perikatan Nasional (PN) N.22 Gurun, Baddrol Bakhtiar bermain bola dalam perlawanan persahabatan Pilihan MB menentang Kedah Chinese FA sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Stadium Darul Aman, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Bekas pemain Kedah dan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar disebut-sebut bakal dilantik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KDA FC) untuk menjawat jawatan penting sekiranya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun tidak lama lagi.

Beliau yang berusia 35 tahun tiba bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari.

Sementara itu, sebelum menyertai Sabah musim lalu sebelum menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada bulan lalu, Badrrol menabur bakti bersama Kedah selama 16 tahun.

Beliau juga pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama skuad Malaysia B-23.

Kali terakhir Baddrol mewakili skuad negara pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2020.

Beliau juga yang berjaya merangkul tiga kali trofi Anugerah Bolasepak Kebangsaan bagi kategori Pemain Tengah Terbaik pada tahun 2010, 2017 dan 2021.

Sementara itu, Baddrol juga menasihati anak-anak muda yang berminat dengan sukan bola sepak agar tidak hanya bercita-cita mewakili sekolah mereka sahaja.

Sebaliknya bekas pemain Harimau Malaysia itu menyarankan golongan itu terutamanya kanak-kanak menyimpan azam untuk mewakili peringkat yang lebih tinggi.

“Minat adik-adik terhadap bola jangan sekadar dapat mewakili sekolah sahaja, perlu ada cita-cita dan usaha sehingga mewakili negeri mahupun yang lebih tinggi,” katanya di media sosial.

 

Gelagat calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan calon Pas N.14 Alor Mengkudu, Mohd Radhi Mat Din serta calon Perikatan Nasional (PN) N.22 Gurun, Baddrol Bakhtiar berehat semasa perlawanan persahabatan bola sepak Pilihan MB menentang Kedah Chinese FA sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Stadium Darul Aman, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

Sepanjang tempoh kempennya, Baddrol turut menyertai perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan dalam usaha menarik undi pengundi muda. – MalaysiaGazette