Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera mencari mekanisma bagi menangani fenomena kekurangan pelajar dalam aliran sains yang akan menjejaskan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, isu itu dilihat semakin kritikal apabila jumlah pelajar aliran tersebut yang direkodkan dibawah 19 peratus.

“Ini kerana sumber manusia dalam bidang aliran sains diperlukan untuk memajukan sesebuah negara sekiranya ingin menjadi negara maju.

“Tidak ada negara di dunia yang menjadi maju, berpendapatan tinggi, hebat dari segi produktiviti dan sebagainya adalah negara yang tidak berteraskan kemajuan Sains serta teknologi.

“Bagaimana sumber manusia kita ini hanya kurang daripada 19 peratus? Bagaimana kita mahu memajukan teknologi dan sains dalam negara?

“Itu perkara yang mustahil berlaku sekiranya kita tidak segerakan selesaikan isu ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM.

Tambah beliau, berdasarkan perbincangan yang dilakukan di semua peringkat mendapati kehilangan minat pelajar terhadap subjek sains adalah bermula sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

“Diperingkat sekolah ini, murid di tahap satu telah diberikan konsep atau asas pendidikan sains yang telah menyebabkan mereka jadi takut, bimbang serta trauma dengan ilmu sains dan juga matematik.

“Jadi, apabila pelajar-pelajar ini naik ke peringkat lebih tinggi, mereka menjadi bimbang, tidak berminat dan kehilangan motivasi kerana beranggapan dua subjek ini adalah untuk ilmu kepada orang yang pandai sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu kini semakin menurun.

Ujar beliau lagi, sekiranya kaedah sama ditekankan dikhuatiri perkembangan bidang berkenaan akan ketinggalan zaman. – MalaysiaGazette