TAMPIN – Felda sedang merangka pendekatan komprehensif bagi mencari kaedah membantu peneroka yang terjejas akibat harga getah yang terlalu rendah di pasaran.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama pengurusan tertinggi Felda pagi tadi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja bertumpu kepada Felda malah melibatkan industri getah secara keseluruhan.
“Apakah industri ini benar-benar untuk kita pertahankan, kalau kita nak pertahankan apakah faktor-faktor sokongan lain?
“Supaya mereka yang terlibat dalam industri ini tidak berada di bawah garis kemiskinan atau berada dalam kategori kemiskinan tegar,” katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sepetang Bersama Pengerusi Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3, Gemas di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah), Mohd Taufik Yaacob bahawa 18,000 daripada 28,528 penoreh getah seluruh negara memilih ‘bercuti’ untuk mencari peluang pekerjaan lain yang lebih menguntungkan.
Ahmad Shabery sedar pendapatan peneroka yang mengusahakan tanaman getah ketika ini berkurangan.
Beliau memberitahu, beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang seperti bantuan musim tengkujuh dilaksanakan untuk membantu mereka.
Selain itu, katanya, Felda turut mencadangkan agar sebahagian hasil yang diperoleh menerusi kayu getah yang ditebang untuk penanaman semua disalurkan kepada peneroka. – MalaysiaGazette