TANAH MERAH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, masalah jalan luar bandar dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan jika dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), akan diberi perhatian khusus.
Beliau berkata sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Luar Wilayah janji tersebut mampu dilaksanakan, sekiranya rakyat Kelantan memilih BN-PH, 12 Ogos nanti.
“Datuk Adhan kalau mene (menang) jumpa ambo (saya). Abe jaga luar bandar jalan berlube (berlubang) minta, rumah PPRT nak baiki bagi tahu, rumah daif bagi tahu.
Turut hadir Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan penyandang kerusi DUN Bukit Bunga Datuk Adhan Kecik.
Bukit Bunga merupakan satu daripada lapan kerusi DUN yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata PRN kali ini merupakan waktu terbaik buat rakyat Kelantan untuk menukar kerajaan negeri, yang sudah 33 tahun mentadbir.
“Ini kali yang terbaik untuk kita ambil alih kerajaan negeri Kelantan dari PAS, insya-Allah kali ini kita akan berikan perkhidmatan yang terbaik, untuk seluruh negeri Kelantan.
“Insya-Allah masalah air, kalau ada tunggakan air kerajaan akan hapuskan hutang itu, tebatan banjir akan dibina supaya Kelantan kurang mengalami banjir lagi,” katanya.
Beliau berkata manifesto BN-PH yang dilancarkan baru-baru ini, menyediakan pelbagai insentif kepada Kelantan sekiranya gabungan itu dipilih sebagai kerajaan negeri, 12 Ogos nanti.- BERNAMA