kerajaan Felda
Ahmad Shabery Cheek pada program Sepetang Bersama Pengerusi Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3, Gemas, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto: Shahrin Zamzuri

TAMPIN – Usaha membantu warga Felda bakal berdepan masalah jika kerajaan negeri yang terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini tidak seiring dengan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, agensi tersebut bukan sahaja perlu melihat soal untung rugi perniagaan tetapi ia juga perlu mengambil kira tentang aspek-aspek lain seperti sekolah, jalan dan kemajuan masyarakat.

Menurut beliau, Felda perlu dilihat secara menyeluruh dan ia memerlukan dukungan kerajaan Persekutuan.

“Kerana tanah itu di bawah kerajaan negeri, saya rasa amat penting dalam konteks PRN kali ini kerajaan pusat sudah ditentukan.

“Jadi kita mahukan kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan pusat bagi membantu seluruh warga Felda,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sepetang Bersama Pengerusi Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3, Gemas di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said.

Sementara itu, Ahmad Shabery menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Felda adalah lambang kegagalan.

Sebaliknya, beliau memberitahu, Felda merupakan lambang kejayaan yang menjadi penanda aras kehidupan masyarakat di luar dan pinggir bandar.

“Daripada tempat yang tak ada apa-apa, hutan belantara, tempat yang terpencil bertukar menjadi satu tempat yang dapat didiami dan mempunyai kualiti kehidupan yang sangat baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery menggalakkan peneroka Felda mengusahakan kegiatan yang boleh dijadikan sumber kekayaan baharu sebagai tambahan kepada getah dan sawit.

Beliau menambah, usaha itu akan diperkasakan melalui projek pembangunan peneroka bagi membantu mereka bergiat dalam bidang penternakan dan tanaman lain.

“Sebahagian dilihat pelaksanaan tidak menyeluruh, ada terputus dari rantaian nilainya, kalau ternak kambing macam mana pembiakan, makanan dan pemasaran.

“Kalau nak buat kita perlu satu pendekatan yang lebih menyeluruh tentang perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette