SUNGAI PETANI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Wan Mohalina Wan Mohammad percaya perancangan The Greater Kedah oleh kerajaan negeri adalah mustahil untuk dilaksanakan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Wanita Bahagian Sungai Petani memberitahu, ini kerana Kerajaan Kedah pimpinan Perikatan Nasional itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Pusat.
Justeru jelas beliau, The Greater Kedah akan berdepan kesukaran untuk mendapat sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
“Kita boleh bercakap tentang semua projek mega ini, tetapi adakah kita mempunyai pelabur yang boleh laksanakannya dengan baik dan cemerlang?
“Kemudian siapa pula yang akan beri kelulusan dan jaminan untuk projek-projek itu.
“Sebelum ini ketika BN mentadbir negeri ini, kita dapat laksana banyak projek-projek berskala besar kerana kita ada hubungan baik dengan kerajaan pusat.
“Jadi ini suatu yang pengundi perlu fahami dan pertimbangkan apabila mereka membuat keputusan pada hari pengundian nanti di mana kita mahukan kerajaan negeri Kedah ini selari dengan Persekutuan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, semalam.
Pada PRN 12 Ogos ini, Wan Mohalina akan berdepan calon PN Sharir Long yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Petani.
Sharir merupakan pendakwah bebas dan Pengerusi Tahfiz Mutmainnah
Beliau tidak asing dalam bidang politik kerana sebelum ini merupakan calon Pas Kedah bagi Parlimen Sungai Petani, pada PRU15, namun tewas dalam pertandingan empat penjuru.
Pada PRU14, Fadzli Hashim dari Pas menang DUN Pantai Merdeka selepas meraih 14,133 undi bagi menewaskan Calon BN, Datuk Ali Yayaha (9,567 undi) dan calon PKR, Rosli Yusof (7,281 undi).
Sementara itu, Wan Mohalina berhasrat menjadikan Pantai Merdeka sebagai DUN digital sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat oleh pengundi nanti.
Jelas beliau, ia merupakan antara strategi yang akan digunakan untuk menarik minat pengundi muda memilih BN memandangkan golongan mewakili 54 peratus pengundi pada PRN15 ini.
“Menerusi Digital@Pantai Merdeka, saya akan melaksanakan sistem pemantauan secara atas talian bagi aduan dan cadangan yang diterima oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen.
“Selain itu, DUN Pantai Merdeka juga akan diperluaskan dengan liputan mudah alih 4G & 5G dan capaian internet berkelajuan tinggi fiber optik ke sekolah-sekolah dan kawasan perumahan berdekatan.
“Saya juga merancangn pemerkasaan perdagangan secara tanpa tunai (cashless) terutamanya melibatkan peniaga kecil mikro dengan menyediakan mesin ATM di pekan Kota Kuala Muda untuk kemudahan penduduk,” katanya yang memberitahu itu antara manifestonya kepada pengundi. – MalaysiaGazette