Ahmad Zaki Shah (tengah) bermesra dengan jentera pemuda yang membantu kempen beliau di sekitar Telok Bahang, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Perumahan mampu milik antara yang akan diberi tumpuan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Beliau yang juga calon tunggal BN di bahagian Pulau berazam untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan dalam kalangan anak-anak di Telok Bahang.

“Saya sendiri mendapat pendidikan awal di sini dan banyak potensi dari pelajar-pelajar perlu digilap supaya dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ahmad Zaki Shah.

“Peranan wakil rakyat cukup penting bagi membimbing, memberi motivasi dan menggilap minat mereka untuk bawa ke saluran yang betul supaya selari apa yang diinginkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai perumahan mampu milik, Ahmad Zaki Shah berkata, beliau berhasrat meneruskan projek perumahan mampu milik yang pernah diusahakan oleh ayahnya iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Shah sebelum ini.

”Ketika ayah menjadi wakil rakyat di DUN Telok Bahang iaitu pada 2013, Kerajaan Persekutuan masih di bawah Barisan Nasional (BN) berjaya mendapatkan 200 ekar tanah bagi pembangunan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Bagaimanapun, perubahan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selepas penggal itu menyebabkan projek berkenaan tidak dapat diteruskan.

“Jadi kini saya percaya penduduk Telok Bahang mempunyai peluang cerah untuk merealisasikan semula projek perumahan mampu milik itu sekiranya memilih wakil rakyat yang selari dengan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

DUN Telok Bahang menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan Ahmad Zaki Shah (BN) dan Muhamad Kasim (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast