Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap kepada media selepas perlawanan persahabatan bola sepak bersama penduduk kampung sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di padang bola sepak Felda Teloi Timur, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

SIK – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan beliau adalah mangsa kepada ancaman oleh Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Kedah itu berkata dirinya jadi sasaran sehingga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sanggup turun ke Kedah.

“Saya memang mangsa (ancaman), dia (Saifuddin Nasution) yang datang kacau saya. Saya memang mangsa penipuan, spin (putar belit), mangsa kelirukan fakta saya.

“Saya ada fakta yang jelas daripada laporan jabatan, itu sahaja kita ada. Yang dia pi kok tu, pi kok ni.  Itu memangsakan saya,” katanya selepas perlawanan bola sepak pilihan MB dan pilihan Felda di Felda Teloi Timur, Sik, lewat petang tadi.

Muhammad Sanusi berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan Saifuddin Nasution bahawa pimpinan Pas cuba main naratif yang beliau adalah mangsa ancaman.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu mempersoalkan benarkah keselamatan Muhammad Sanusi terancam atau ia cubaan membina persepsi bagi meraih simpati rakyat kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu.

Persoalan itu dibangkitkan Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) selepas beberapa pemimpin PN yang membuat dakwaan demikian berikutan ketidakhadiran Muhammad Sanusi ke beberapa siri ceramah akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menafikan ada arahan daripada kepimpinan Pas Pusat menyuruhnya ‘direhatkan’ gara-gara lantang bersuara dalam kempen ceramah pilihan raya negeri (PRN).

“Tidak ada. Kelmarin itu pasal ada di Kuala Lumpur, lepas tu kita nak bergegas balik Kedah tidak sempat. Mereka (penganjur) kata bawa perlahan-lahan atas keselamatan.

“Itu sahaja atas faktor keselamatan sebab tidak boleh bawa laju,” jelasnya.

Semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega PN bersama MB Kedah di Taman Ria memaklumkan, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen tersebut bagi memastikan keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu terjamin.

Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan bagi mengelak ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh politiknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast