rafie aminuddin
Mohamad Rafie Ab Malek

SEREMBAN – Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek menegaskan bahawa beliau sememangnya tidak menghormati Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang juga penyandang kerusi tersebut menganggap Aminuddin sebagai seorang pemimpin yang amat lemah dan tiada wawasan.

“Sepanjang pentadbiran beliau, sebagai ketua pegawai eksekutif kerajaan negeri, beliau tidak langsung mempunyai perancangan untuk meletakkan petunjuk prestasi utama untuk setiap portfolio exco,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketika menyampaikan ceramah dalam program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan, di sini, kelmarin Aminuddin menyatakan, Mohamad Rafie tidak menghormatinya selaku pemimpin kerajaan Negeri Sembilan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu mengakui bahawa perkara tersebut menyebabkan berlaku pergeseran antara beliau dan Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie mendakwa, Aminuddin juga mengganggu tugasnya sebagai Ahli Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan dahulu.

Menurut beliau, situasi itu berlaku apabila Aminuddin melantik seorang individu sebagai pegawai khas ekonomi kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Ramai pelabur mengadu bahawa mereka diminta untuk tidak berhubung dengan exco pelaburan dan perindustrian yang merupakan pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.

“Pelabur hanya perlu berjumpa dengan pegawai khas ekonomi beliau ini yang sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk berperanan sebagai pakar ekonomi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Mohamad Rafie menyifatkan Aminuddin dalam ucapannya seolah-olah mengesahkan bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab untuk menggugurkannya daripada dicalonkan semula mewakili PH di DUN Ampangan.

“Amat malang, beliau menggunakan pergeseran peribadi sebagai alasan untuk menolak pemimpin yang berwibawa dan bersih untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette