Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid bergambar bersama penduduk masyarakat siam ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

PADANG TERAP – Disebalik ramalam Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akan memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Kedah, Pengerusi gabungan itu berkata jumlah kerusi dijangka lebih daripada itu.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia berdasarkan kepada komposisi kerusi yang ditandingi gabungan itu dan tiada kerusi yang bertembung sesama sendiri.

“Saya jangka lebih sedikit daripada jumlah itu. Kita mempunyai peluang sebab BN bertanding 15 kerusi, PKR 10, Amanah 9, dan DAP dua kerusi.

“Masing-masing ada KPI dan ada sasaran jadi kalau masing-masing capai sasaran yang telah diletakkan saya yakin sampaikan kepada sasaran yang dikehendaki,” katanya ketika acara walkabout bersama masyarakat Siam di Wan Kampung Long, Pedu, hari ini.

Jelas Mahdzir, ia dibuktikan dengan peningkatan sokongan di semua pusat daerah mengundi serta lawatan beliau di kampung-kampung seluruh Kedah.

“Saya kira ini satu perkembangan yang positif dan saya fikir perkembangan positif ini meningkat bukan sahaja di Pedu tapi di DUN yang PH-BN bertanding,” jelas beliau.

Mahdzir berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi semalam yang yakin gabungan PH-BN memenangi lapan kerusi DUN, malah mampu meningkatkan jumlah sehingga 15 kerusi memasuki minggu kedua.

Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media selepas berkempen bersama penduduk masyarakat siam sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar Kedah, Mahdzir percaya gabungan PH-BN tidak ketandusan calon untuk mencalonkan mana-mana calon sekiranya kerajaan perpaduan memenangi DUN Kedah.

“Saya memikirkan bahawa pucuk pimpinan tahu mana-mana calon yang boleh diketengahkan dan menghormati Sultan Kedah.

“Kalau mana-mana nama dihantar biar Sultan yang memilihnya sebab orang yang bekerja di bawah naungan Sultan Kedah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette