KUALA LUMPUR – Pengundi di Selangor perlu terus mengekalkan kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini berdasarkan prestasinya.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar berkata, kejayaan demi kejayaan boleh dilihat sejak lebih tiga penggal kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Selangor tampil antara negeri yang mencatatkan kemajuan terbaik dalam negara selain Sarawak.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Timbalan Pengerusi Perak itu menambah, Selangor mencatatkan banyak kemajuan di bawah kerajaan sedia ada dan lebih banyak pembangunan akan dapat dilaksanakan andainya kerajaan Persekutuan dan negeri itu senada.
“Asyik berpolitik dan tukar kerajaan bukan sahaja menyebabkan rakyat sengsara sebaliknya negara juga akan terus mundur dan tidak akan ada sebarang kejayaan.
“Hakikatnya pihak lawan banyak menggunakan emosi dan isu-isu retorik populis untuk membakar sentimen selain mengundang kebimbangan sahaja.
“Apa guna ini semua jika akhirnya yang rugi adalah rakyat kita sendiri. Sejak saya turun berkempen selain kerja hakiki sebagai Menteri Sumber Manusia, banyak maklum balas positif saya terima di beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang,” katanya selepas ceramah Kerajaan Perpaduan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning malam tadi.
Sivakumar teruja melihat sokongan yang ditunjukkan rakyat cukup memberangsangkan.
“Bayangkan kita buat sesi ceramah seperti ini, cara tradisional tidak seperti pihak lawan banyak menggunakan media sosial tetapi kita tetap dapat sokongan kehadiran ramai.
“Jika kita door to door, masing-masing juga komited dan optimis untuk terus mengekalkan kerajaan negeri sedia ada. Ramai juga dalam kalangan penyokong ikrar sokongan untuk kita,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, rakyat diminta menunaikan kewajipan pada 12 Ogos ini bagi memastikan kerajaan yang sudah mempunyai prestasi dan rekod cemerlang akan terus dikekalkan. – MalaysiaGazette