Mohamed Khaled berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

BANGI – Sebuah universiti bukan semata-mata melahirkan modal insan dan bakat untuk negara sebaliknya juga perlu terlibat dalam perihal pembangunan teknologi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah berkenaan akan dapat meningkatkan kebolehsaingan negara yang berasaskan inovasi.

“Universiti mesti mampu memastikan adanya pengkomersialan dan pemindahan teknologi yang dihasilkan demi manfaat negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Datuk Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled menyifatkan langkah UKM membina laman ilmu yang bakal menempatkan pusat inovasi tepat pada masanya.

Ujarnya usaha itu juga akan dapat mendidik masyarakat tentang pentingnya inovasi.

Dalam masa yang sama, beliau menganggap keputusan universiti bukti sokongan kepada kerajaan yang ingin menjayakan Kerangka Ekonomi Madani.

“Ini  akan dapat membantu usaha negara seperti yang dikehendaki Kerajaan Perpaduan ketika Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melancarkan Kerangka Ekonomi Madani untuk negara yang matlamatnya untuk melakukan transformasi ekonomi negara supaya kita keluar dari cabaran dan masalah yang membelenggu negara.

“Kita perlu cari pendekatan baru bagi mencapai hasrat kerajaan kerana pada akhirnya menjadi peranan sesebuah iniversiti menjayakan dasar kerajaan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan universiti tempatan lain terutamanya yang berteraskan penyelidikan untuk turut mengambil langkah yang sama seperti UKM. – MalaysiaGazette