KUALA LUMPUR – Seramai 76 peserta, qari dan qariah berjaya melepasi saringan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa (MTHQA) ke-63 pada 19 hingga 24 Ogos ini.
Mereka mewakili 57 negara termasuk Malaysia yang akan memperdengarkan bacaan masing-masing di astaka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar, daripada jumlah itu, 36 peserta iaitu 24 qari dan 12 qariah dari 27 negara terpilih untuk tilawah, manakala 40 peserta iaitu 27 qari dan 13 qariah dari 30 negara bagi kategori hafazan.
Katanya, Malaysia menghantar empat peserta iaitu masing-masing dua untuk tilawah dan hafazan.
Mereka ialah Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, qari Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihantan dari Kelantan dan Nor Hidayah Abd. Rahman dari Terengganu untuk tilawah.
Dua peserta Hafazan ialah Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar dari Sabah bagi kategori hafazan.
Majlis perasmian dan pembukaan MTHQA ke-63 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Ogos 2023 jam 8.45 malam dan penutup serta pengurniaan hadiah oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 24 Ogos, jam 8.45 malam.
“Malaysia terkenal dengan kecemerlangan dalam menganjurkan MTHQA sejak penganjuran pertamanya 8 Mac 1960 yang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Malah, kita pernah menerima pengiktirafan bagi kategori penganjuran program al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.
“Penganjuran MTHQA kali ini yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ melibatkan dua kategori iaitu pertandingan Tilawah al-Quran dan Hafazan al-Quran 30 juzuk,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, tema itu bersesuaian dengan manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.
Katanya, nilai perpaduan berteraskan al-Quran adalah tunjang kepada masyarakat madani yang maju bukan hanya daripada segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian.
Penganjuran MTHQA secara tahunan oleh kerajaan Malaysia adalah manifestasi bagi menzahirkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Allah dalam amalan kehidupan seharian.
Kata Dr. Na’im, Jawatankuasa Induk MTHQA ke-63 ini sebulat suara bersetuju supaya peserta yang akan menyertainya perlu melalui sesi ujian saringan.
“Sesi saringan kelayakan peserta telah selesai dijalankan pada 19 hingga 24 Mei lalu di Terengganu dan 1 hingga 8 Julai di Melaka secara atas talian melibatkan penyertaan 112 peserta dari 58 negara.
“Sesi ujian saringan kelayakan peserta telah dinilai barisan jemaah hakim berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, selain hadiah wang tunai disediakan kerajaan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menaja hadiah Tajaan Emas kepada Johan bagi dua kategori tersebut.
Hadiah berbentuk wang tunai, Tajaan Emas, hadiah iringan dan sijil kepada johan, naib johan dan tempat ketiga bagi qari dan qariah tilawah serta hafazan.
“MTHQA akan dihakimi 20 hakim dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain.
“Bagi kategori tilawah, penghakiman dinilai dari empat aspek iaitu tajwid, tarannum, fasahah dan suara, manakala kategori hafazan pula terdapat dua aspek tambahan penilaian iaitu dari sudut hafazan dan kelancaran bacaan.
“Selain persembahan tilawah dan hafazan, turut diserikan dengan bacaan qari jemputan, persembahan nasyid, tazkirah, bacaan qasidah, persembahan khas wakil peserta MTHQA ke-63,” katanya.
MTHQA ke-63 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam, manakala bagi acara Hafazan siaran langsung saluran TV AlHijrah dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Selain itu, penonton boleh mengikuti secara langsung melalui saluran media sosial rasmi Jakim iaitu TV Jakim, Facebook dan Tiktok Jakim, Radio IKIM, Radio Nasional FM serta lintas langsung beberapa radio di bawah RTM seperti Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli). – MalaysiaGazette