Calon PH DUN Seberang Jaya Johari Kassim

PERMATANG PAUH – Impian Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih Kerajaan Pusat jika memenangi pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini ibarat mimpi di siang hari.

Calon Pakatan Harapan (PH) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Johari Kassim berkata, perkara tersebut dibesar-besarkan untuk mengeliru dan meraih sokongan pengundi.

“Mereka tahu daripada segi jumlah kerusi Parlimen yang kita (kerajaan Perpaduan) miliki iaitu 148 Ahli Parlimen sokong kita selain akta anti-lompat parti pun sudah diperkenalkan. Jadi ia agak mustahil bagi beralih sokong kepada PN untuk tumbangkan kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin kalau kalah atau menang di PRN ini ia tidak akan menggugat kestabilan kerajaan di peringkat pusat,”katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan PN akan berlaku peralihan sokongan daripada ahli UMNO kepada PN, Johari menambah, ia hanya tanggapan tidak realistik lawannya itu.

“Untuk UMNO, Pas adalah pengkhianat dan UMNO tidak boleh menerima kerjasama pengkhianat. Maka dakwaan bahawa untuk ahli UMNO memberi undi kepada PN saya rasa ia amat tipis kecuali mungkin kawan-kawan yang memberi undi,” ujarnya. – MalaysiaGazette