KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Pahang.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata, keputusan Kabinet itu adalah sejajar dengan hasrat kementerian yang mengutamakan pemeliharaan alam sekitar, konservasi dan penggunaan sumber asli dengan cara yang bertanggung jawab.
“Kabinet secara prinsipnya memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman yang melibatkan 76 peratus penambakan laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mendedahkan, pembinaan lapangan terbang baharu itu membabitkan penambakan 76 peratus tanah daripada kawasan perlindungan marin (MPA).
Ini akan mengakibatkan kemusnahan kebanyakan terumbu karang sangat berharga sedangkan ia habitat penting bagi banyak spesies laut dan menyumbang secara signifikan kepada biodiversiti.
Tapak lapangan terbang yang dicadangkan juga menceroboh kawasan terkenal dengan kemunculan jerung terumbu blacktip dan penyu sisik yang sedang diancam kepupusan.
Untuk rekod, cadangan membina lapangan terbang itu timbul pada 2003 dengan kos RM120 juta di Kampung Paya.
Bagaimanapun, ia dibatalkan pada 2009 selepas mendapat tentangan ramai.
Namun, cadangan baharu pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman muncul pada 2018 dan mendapat kelulusan kerajaan negeri dan Majlis Perancang Fizikal Negara pada 2020.
Lapangan terbang dicadangkan itu, dijadualkan untuk tempoh pembangunan selama tujuh tahun dari 2024 hingga 2030, meliputi kawasan seluas 142.7 hektar dalam sempadan taman laut diwartakan.-MalaysiaGazette