Johari Kassim semasa walkabout kempen PRN Pulau Pinang bertemu pengundi di Jalan Tenggiri Seberang Jaya hari ini.

PERMATANG PAUH – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya optimis menang selesa dengan majoriti 5,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini, sekali gus mempertahankan kerusi di kawasan itu.

Johari Kassim berkata, beliau yakin gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) turut mendapat sokongan pengundi yang telah melaksanakan undian awal, semalam.

“Saya yakin boleh meraih sehingga 5,000 majoriti dan menang kerusi DUN Seberang Jaya untuk PH pada 12 Ogos ini nanti.

“Saya tidak meletakkan sasaran tinggi lebih daripada jumlah itu walaupun BN memberi sokongan penuh sepanjang kempen sejak 29 Julai yang lalu.

“Saya mahu meletakkan sasaran yang realistik,” katanya kepada MalaysiaGazette semasa kempen walkabout di Jalan Tenggiri Seberang Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Johari juga yakin bakal memperolehi sokongan daripada pengundi Cina yang sangat mengharapkan kestabilan politik yang sekali gus menjamin kemakmuran ekonomi.

Katanya, sepanjang berkempen menyantuni komuniti Cina, mereka secara terbuka memberi sokongan padu kepada PH termasuk mengajak anak masing-masing untuk mengundi Kerajaan Perpaduan semasa PRN nanti.

Tambah Johari, beliau juga melihat sokongan teguh daripada komuniti India kepada PH menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Kalau dulu (semasa Pilihan Raya Umum ke-15), undi masyarakat India berpecah kepada PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) tetapi sekarang komuniti itu tiada pilihan disebabkan PH sudang bergabung dengan BN.

“Maka, majoritinya pasti menyokong PH dan seterusnya menambah undi kepada saya pada Sabtu nanti,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama ditanya mengenai lawannya daripada PN, Izhar Shah Arif Omar Shah, Johari berkata beliau lebih berpengalaman sehingga menjadi wajah popular dalam kalangan masyarakat DUN Seberang Jaya dengan berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai bermula 2008 hingga 2013.

“Kalau calon PN, dia seorang anak muda tidak berpengalaman luas dalam politik dan mempunyai komitmen keluarga sendiri.

“Saya yakin dia tak mampu untuk menjalankan tugas dengan baik berbanding pengalaman saya dengan tidak terikat kepada mana mana tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyimpulkan bahawa setelah tempoh kempen memasuki hari ke-11, sokongan daripada pengundi adalah sangat baik meskipun pada awalnya agak perlahan.

Ini berikutan jentera kerja parti yang aktif berkempen diikuti sokongan UMNO dan BN yang berjaya mempamerkan keserasian dalam Kerajaan Perpaduan menyebabkan pengundi lebih tertarik.

“Dengan ini saya yakin pengaruh daripada pada UMNO juga akan membantu memberi undi tambahan di sini nanti.

“Cuma pengundi muda kita nampak ada penambahan tetapi tidak begitu tinggi.

“Bagaimanapun, perjumpaan saya dengan pemuda menampakkan ada sokongan jitu kepada PH dalam PRN ini dan saya boleh katakan ada peningkatan dalam 20 peratus pengundi muda sudah beralih sokongan kepada PH pada 12 ogos ini,” katanya. -MalaysiaGazette