KUALA LUMPUR – Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) Kelantan masih sukar untuk menawan negeri itu daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Sabtu ini.
Malah, beberapa kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 dijangka dirampas Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Perikatan Nasional (PN).
Demikian ramalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berdasarkan senario rakyat Kelantan yang akan mengundi dalam masa tiga hari lagi.
Kata beliau, BN-PH hanya mempunyai peluang menang sekurang-kurangnya empat kerusi, iaitu DUN Paloh dan Galas di Gua Musang, Air Lanas di Jeli dan Kok Lanas di Ketereh.
“Semua 41 kerusi DUN lagi dimenangi oleh PN berdasarkan sokongan rakyat Kelantan kepada UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR di negeri itu tidak kuat.
“Saya ramalkan empat kerusi dimenangi BN-PH adalah atas dasar kesian, tetapi tidak mustahil Pas boleh menangi di semua 45 kerusi pada Sabtu ini.
Menurut Ibrahim, beliau membuat jangkaan itu atas alasan rekod UMNO yang ditolak oleh rakyat selama lebih 30 tahun.
Katanya, ketika UMNO kuat sebelum ini pun boleh kalah, apatah lagi parti itu ketika ini bergolak dengan imej Presidennya yang terpalit dalam kes menyalahgunakan kuasa dan rasuah.
“Era Tengku Razaliegh Hamzah dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO awal 90-an pun UMNO dan BN kalah, diikuti diganti Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa, BN gagal mengambil alih Kelantan.
“Semetelah UMNO bergabung dengan PH selepas PRU15. Umum tahu, Amanah dan PKR di Kelantan tidak ada sokongan di akar umbi. Ini menyumbangkan lagi kekalahan teruk pakatan itu di negeri ini,” ujar beliau.
Kata Ibrahim, beliau tidak memihak mana-mana parti, apatah lagi berkempen untuk PN.
“Cuma ini pandangan benar dari saya sebagai anak Kelantan yang ada sedikit pengalaman.
“Tambahan pula, saya berjumpa dengan ramai anak Kelantan di perantauan. Mereka berjanji akan berarak pulang secara besar-besaran untuk memberi undi kepada Pas dan PN.
“Ini adalah isyarat jelas rakyat Kelantan. Mereka langsung tidak terkesan dengan masalah air, masalah kemunduran dan kemiskinan,” katanya. – MalaysiaGazette
ZAHID HAMIDI… Dataran Bagan Datoh tu besar RUANG KOSONG… harap Mat Hasan dan Naib President serta MKT termasuk WANITA PEMUDA dan PUTERI UMNO menyarankan satu Muzium Gallery UMNO dibina mencatat hari-hari nazak diketuai ZAHID HAMIDI… ZAHID sempat ke nak melangkah tu…